Agrikomoditi Lada
Industri lada Malaysia.
Pengenalan
PENGENALAN
Dikenali sebagai “Raja Rempah”, lada atau Pepper Nigrum adalah salah satu komoditi utama yang bernilai tinggi dan didagangkan secara global di Malaysia. Industri lada merupakan salah satu komoditi penting dalam sektor Agrikomoditi yang dipelopori oleh pekebun kecil. Lada Malaysia telah dieksport untuk digunakan sebagai ramuan masakan di seluruh dunia. Terkenal dengan keunikan dan kenaikan rasa yang tersendiri, Lada Sarawak telah menjadi bahan utama yang dicari dari seluruh dunia. Kini, Malaysia berada di kedudukan kelima sebagai pengeluar lada terbesar di dunia.
Pengeluaran lada negara mencatatkan pertumbuhan yang ketara berikutan hasil peningkatan produktiviti. Pengeluaran lada mencapai 30,804 tan pada tahun 2020 berbanding 24,227 tan pada tahun 2010. Hasil pengeluaran per hektar telah meningkat dari 6.4 tan per hektar daripada 4.4 tan per hektar pada tahun 2010. Ini didorong dari peningkatan permintaan di pasaran dunia dan tahap penggunaan domestik yang semakin menggalakkan yang turut memberi kesan terhadap harga yang lebih tinggi.
KELEBIHAN LADA PUTIH BERKRIM SARAWAK
Lada Putih Berkrim (Creamy White Pepper - CWP) adalah lada berkualiti premium yang dihasilkan khusus oleh pekebun kecil lada pada peringkat ladang. CWP dihasilkan melalui proses semula jadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau tambahan:
- Biji lada yang telah matang sepenuhnya dituai dan dipilih dengan teliti
- Biji lada yang dipilih direndam di dalam tangki dengan air yang mengalir dalam keadaan terkawal untuk menghilangkan perikarp. CWP juga dapat dihasilkan dengan merendam biji lada yang matang di aliran air gunung yang bersih dan jernih.
- Pemantauan peredaran air yang berterusan menghasilkan CWP berkualiti tinggi yang seragam. Proses ini juga membolehkan CWP memperoleh aroma dan rasa yang khusus.
CWP mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna tempatan dan antarabangsa termasuk pengimport, terutamanya dari industri makanan dan hospitaliti di Amerika Syarikat, Jepun, China dan Singapura. CWP juga dijual pada harga premium, iaitu hampir 2.5 kali ganda daripada harga lada putih biasa.
|
|
|
Untuk maklumat lanjut berkaitan Industri Lada, sila hubungi:
Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada (IKL)
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
Aras 5, Bangunan KPK
Persiaran Perdana, Presint 2,
612650 PUTRAJAYA
Telephone No : 603-88921621
Email : ikl [@] kpk.gov.my
Agensi/ Majlis
Lembaga Lada Malaysia (MPB) adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Lada Malaysia 2006. Ibu pejabat MPB terletak di Kuching, Sarawak, mempunyai dua buah Pejabat Wilayah iaitu di Johor Bahru dan Kota Kinabalu manakala sembilan buah Pejabat Cawangan terletak di Sarawak. MPB berperanan dalam pembangunan industri lada dari aspek R&D, produktiviti, pemasaran serta perdagangan.
Perkhidmatan
1. Penyelidikan
Lembaga Lada Malaysia adalah organisasi utama yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan Malaysia untuk menjalankan kajian intensif ke atas lada (Piper nigrum L.) ke arah pembangunan industri lada Negara yang mampan melalui penyelidikan Bioteknologi, Agronomi, Kimia dan pembangunan produk tambah nilai lada.
Meningkatkan produktiviti dan pengeluaran lada serta mentransformasikan struktur pengeluaran dari pengeluaran bahan mentah kepada pengeluaran produk tambah nilai.
Fungsi:
- Menjalankan penyelidikan dan aktiviti-aktiviti pembangunan yang akan mencetuskan pembangunan industri lada secara menyeluruh;
- Membangunkan kemudahan dan infrastruktur untuk menyokong penyelidikan dan aktiviti-aktiviti pembangunan lada;
- Membangunkan pusat germplasm lada;
- Meningkatkan hasil tambah aktiviti hiliran dalam industri lada melalui pembangunan dan penggunaan hasil sampingan produk;
- Menjalankan pengumpulan maklumat saintifik kepada para pelanggan;
- Menerbit dan menyebarkan maklumat saintifik kepada para pelanggan;
- Menyediakan khidmat nasihat dan penasihat teknikal;
- Membekalkan bahan penanaman berkualiti bagi memenuhi keperluan dan pembangunan perladangan lada; dan
- Menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dari semasa ke semasa.
Sektor Huluan:
- Penyelidikan bioteknologi untuk membangunkan varieti baru lada yang dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dan rintang terhadap jangkitan penyakit serta perosak;
- Penghasilan/pembangunan kaedah alternatif dalam pengawalan penyakit dan perosak selain daripada penggunaan racun kimia;
- Penghasilan amalan penanaman lestari;
- Penghasilan teknologi mesra alam.
Sektor Hiliran:
- Penyelidikan dan pembangunan produk makanan;
- Penyelidikan dan pembangunan produk bukan makanan.
Aktiviti utama adalah seperti berikut:
- Pengekstrakan minyak dan bahan bioaktif daripada lada.
- Penghasilan sebatian kimia baru yang berasaskan bahan bioaktif lada;
- Mengenalpasti potensi lada melalui ujikaji biologi;
- Penghasilan pelbagai produk tambah nilai yang berasaskan lada.
2. Kawalan Kualiti
Cawangan Kawalan Kualiti di bawah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Kualiti Lembaga Lada Malaysia menawarkan perkhidmatan analisis makmal untuk lada keluaran Malaysia. Makmal-makmal analisis MPB telah mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui akreditasi MS ISO/IEC 17025:2005.
Memastikan kualiti eksport lada negara terjamin dan memenuhi piawaian keselamatan makanan di peringkat antarabangsa.
Fungsi:
- Menyediakan khidmat ujian yang segera dan boleh dipercayai serta bertaraf tinggi, mengenai kualiti serta parameter-parameter keselamatan lada dan produk-produk yang berkaitan, kepada industri lada/rempah-ratus;
- Bekerja secara rapat dengan industri lada/rempah-ratus dalam membangunkan / memperbaiki produk-produk lada/rempah-ratus yang ditambah nilai;
- Memindahkan pengetahuan dan kepakaran teknikal yang berkaitan terhadap industri lada/rempah-ratus agar industri lada lebih berdaya bersaing di pasaran global; dan
- Penambahbaikan khidmat teknikal secara berterusan untuk kepentingan industri lada/rempah-ratus.
Skop Analisis:
Mekanikal (Fizikal) – merangkumi analisis untuk menggred / memantau sampel lada seperti kelembapan, bendasing, biji ringan, ketumpatan pukal, kulapuk lada, biji hitam bagi lada putih serta saiz serbuk bagi serbuk lada;
Mikrobiologi – analisis bagi menentukan kandungan mikro-organisma tertentu di dalam sampel lada. Ini termasuk analisis seperti Aerobic Plate Count, Yeasts &/Moulds Count serta Bakteria Kolifom dan Patogen seperti Escherichia coli dan Salmonella spp;
Kimia Intrinsik – analisis bagi bahan kimia semulajadi lada seperti piperine, minyak mudah meruap/minyak pati lada (VO), non-volatile ether extract (NVEE), crude fibre, total ash, acid insoluble ash (AIA) serta profil rasa dan aroma lada; dan
Kimia Ekstrinsik – analisis bagi bahan kimia yang bukan dihasilkan secara semulajadi oleh lada. Ini merangkumi bahan kimia seperti racun makhluk perosak, logam surih (trace/ultra-trace heavy metal) dan mikotoksin.
3. Perkhidmatan Tanaman
Bahagian Perkhidmatan Tanaman bertanggungjawab untuk meningkatkan pengeluaran lada negara melalui penglibatan orang ramai terutamanya golongan sasar dalam bidang penanaman dan pengeluaran lada.
Aspirasi untuk meningkatkan pengeluaran lada negara ini dapat direalisasikan dengan meningkatkan keluasan tanaman dan produktiviti lada melalui aktiviti pemberian input pertanian, pembangunan modal insan, pengeluaran lada premium / tambah nilai dan perlindungan tanaman.
- Pembangunan Penanaman Lada:
- Fungsi:
Merancang, melaksana, menyelia dan memantau pelaksanaan aktiviti-aktiviti di bawah Program Pembangunan Huluan Industri Lada:
- Membangunkan kawasan tanaman lada baharu
- Menyelenggara kawasan penanaman lada sedia ada
- Menyalurkan bantuan input pertanian kepada golongan sasar.
- Menggalakkan pengeluaran lada premium / tambah nilai melalui penyaluran alat pemprosesan dan kemudahan infrastruktur ladang.
- Meningkatkan kemahiran pekebun bagi peningkatan produktiviti disamping menerapkan Amalan Pertanian Baik (GAP) di kalangan pekebun.
Aktiviti:
- Skim Tanaman Lada Baharu;
- Skim Tanaman Lada Matang;
- Pengeluaran Lada Premium / Tambah Nilai;
- Pembangunan Modal Insan Pekebun Lada;
- Pengumpulan Data Di Lapangan; and
- Perlindungan Tanaman
4. Pembangunan Pasaran dan Perniagaan
Bahagian Pembangunan Pasaran dan Perniagaan terdiri daripada Unit Promosi Pasaran dan Unit Kawal Selia Pasaran yang terlibat dalam membangunkan pelan promosi untuk destinasi pasaran berdasarkan potensi tawaran, permintaan, gelagat pasaran, keutamaan dan strategi tertentu mengikut senario perniagaan lada dalam serta luar negara.
Turut terlibat dalam merancang, menyelia, menunjuk cara dan memantau pematuhan peraturan-peraturan berkaitan di kalangan pedagang lada bagi meningkatkan daya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.
Fungsi:
- Mengikuti perkembangan semasa dan bertindak seiring isu-isu ekonomi, pemasaran, statistik dan data berkenaan pasaran lada;
- Mengadakan promosi pasaran lada domestik dan antarabangsa;
- Menjalin hubungan perdagangan antarabangsa pasaran lada; dan
- Kawal selia pasaran.
Aktiviti:
- Mengumpul, mengurus, menganalisa dan proces data dan maklumat berkenaan industri lada untuk disalurkan kepada pihak kementerian, agensi, penggiat indutri dan pihak-pihak yang berkaitan;
- Koordinat, menganjurkan dan mengambil bahagian dan aktiviti promosi pasaran dan meningkatkan penggunaan lada di dalam dan luar negara;
- Terlibat dengan penyertaan mesyuarat di peringkat antarabangsa seperti International Pepper Community (IPC), hubungan dua-hala ASEAN, penyediaan nota ikhtisas perdagangan dan sebagainya;
- Menganjurkan kursus-kursus berkaitan jenama, produk, perkhidmatan, komunikasi, harga dan saluran pengedaran untuk program keusahawanan lada; dan
- Melaksanakan aktiviti penguatkuasaan berlandaskan Akta 656 dan peraturan-peraturan berkaitan seperti pelesenan, permit dan penggredan untuk tujuan eksport serta pasaran lada dalam negara.
5. Khidmat Perkilangan
- Bahagian Perkhidmatan Perkilangan Lembaga Lada Malaysia merupakan bahagian yang menyediakan perkhidmatan pemprosesan lada kepada penggiat industri lada di Malaysia disamping memberi khidmat teknikal kejuruteraan kepada pembangunan industri lada secara keseluruhannya.
Aktiviti pemprosesan lada yang dilaksanakan ialah:
- Pembersihan fizikal (Pembersihan kering dan basah) - mengasingkan dan mengurangkan cemaran fizikal pada produk lada – Lokasi: Kuching, Sarikei & Sibu;
- Rawatan haba stim - mengurangkan kandungan mikroorganisma pada produk lada – Lokasi: Kuching & Sibu;
- Pengisaran - mengisar biji lada bagi menghasilkan produk lada serbuk pelbagai saiz – Lokasi: Kuching; dan
- Penyisihan Warna - digunakan untuk menghasilkan produk lada putih krim – Lokasi: Kuching